SK Seri Maju Jaya terus mengorak langkah dalam menyokong usaha pemerkasaan pendidikan digital melalui perkongsian kepakaran warga pendidiknya. Puan Siti Nor Mazidah binti Awang, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Seri Maju Jaya yang juga merupakan Guru Peneraju Generasi Digital (GPGD) dalam Teknologi Microsoft, telah dijemput sebagai penceramah bagi Bengkel Pemerkasaan Kompetensi Digital Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di SMK LKTP Belitong.

Dalam bengkel tersebut, beliau telah menyampaikan sesi bimbingan berkaitan Pensijilan Microsoft Elevate Educator – Explorer dan Expert. Sesi ini bertujuan memberikan pendedahan, panduan dan bimbingan kepada para peserta untuk meningkatkan kompetensi digital serta memperoleh pengiktirafan profesional melalui pensijilan Microsoft.

Sepanjang program berlangsung, para peserta dibimbing untuk mengikuti proses pembelajaran dan melengkapkan keperluan pensijilan Microsoft Elevate Educator – Explorer. Setelah berjaya memperoleh lencana Explorer, mereka turut diberikan panduan untuk melangkah ke peringkat seterusnya dengan menyediakan dan menghantar permohonan Microsoft Elevate Educator – Expert.

Alhamdulillah, hasil komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan, semua guru yang hadir telah berjaya memperoleh Microsoft Elevate Educator – Explorer Badge. Mereka juga berjaya melengkapkan serta menghantar permohonan bagi pensijilan Microsoft Elevate Educator – Expert.

Pensijilan ini bukan sekadar pencapaian dalam bentuk sijil atau lencana digital, malah merupakan satu pengiktirafan terhadap usaha guru meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dalam memanfaatkan teknologi. Kompetensi tersebut amat penting bagi membantu guru merancang PdP yang lebih kreatif, inovatif, interaktif dan berpusatkan murid.

Melalui penguasaan aplikasi Microsoft, para pendidik berpeluang mempelbagaikan kaedah penyampaian, menghasilkan bahan pembelajaran digital dan mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna. Usaha ini seterusnya dapat memberikan impak positif terhadap kualiti pendidikan dan kemenjadian murid.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua peserta atas pencapaian yang membanggakan. Penghargaan dan terima kasih turut diberikan kepada pihak SMK LKTP Belitong atas jemputan serta peluang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama warga sekolah.

Penglibatan wakil SK Seri Maju Jaya sebagai penceramah jemputan turut mencerminkan komitmen sekolah dalam menyokong pembangunan profesional warga pendidik dan memperluas perkongsian amalan terbaik dalam teknologi pendidikan.

Semoga ilmu yang diperoleh menjadi pemangkin kepada pembelajaran yang lebih kreatif, inovatif dan memberikan impak kepada kemenjadian murid.

Terus belajar, terus berkembang, terus memberi manfaat.

Guru Kompeten Digital, Murid Fasih Digital
SeMaju: Beyond the Skies