Murid-murid Tahun 6 SK Seri Maju Jaya telah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk “Kemudahan Awam Milik Bersama” melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan teknologi digital.

Dalam aktiviti ini, murid diberikan tugasan untuk menghasilkan slaid pembentangan menggunakan Microsoft PowerPoint. Mereka diberi kebebasan menyusun kandungan dan mempersembahkan idea mengikut kreativiti masing-masing. Murid meneroka maklumat berkaitan jenis kemudahan awam, kepentingannya kepada masyarakat serta tanggungjawab bersama untuk menjaga dan menggunakannya dengan berhemah.

Hasil tugasan yang telah disiapkan kemudiannya dikongsikan melalui Google Classroom untuk semakan dan penilaian guru. Penggunaan platform digital ini memudahkan proses penghantaran tugasan, perkongsian hasil kerja dan pemberian maklum balas secara lebih sistematik.

Aktiviti diteruskan dengan sesi pembentangan di hadapan kelas. Melalui sesi ini, murid berpeluang berkongsi pengetahuan dan menerangkan hasil kerja masing-masing. Aktiviti tersebut bukan sahaja meningkatkan pemahaman mereka tentang tajuk yang dipelajari, malah membantu membina keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan keberanian menyampaikan idea.

Alhamdulillah, semua murid berjaya menyiapkan tugasan yang diberikan. Mereka turut menunjukkan kesungguhan, kreativiti dan kemahiran yang baik dalam menggunakan teknologi digital sepanjang proses pembelajaran.

Pendekatan ini membuktikan bahawa pembelajaran bukan sekadar memahami kandungan dalam buku teks, tetapi turut melibatkan penerokaan, penciptaan dan perkongsian ilmu. Diharapkan aktiviti seperti ini dapat melahirkan murid yang kreatif, bertanggungjawab dan fasih menggunakan teknologi untuk tujuan pembelajaran.

Guru Kompeten Digital, Murid Fasih Digital
SeMaju: Beyond the Skies